Selamat datang ke Komuniti Kita untuk Semua penduduk Bakar Batu. Sila ke laman facebook di sini Terima kasih
RSS

Sunday, October 7, 2012

Elaun Bulanan Rukun Tetangga Ditambah Kepada RM500 - Koh Tsu Koon


GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Elaun bulanan Jawatankuasa Rukun Tetangga (RT) bagi setiap kawasan di seluruh negara akan dinaikkan dari RM200 kepada RM500.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata penambahan elaun itu bagi membolehkan sukarelawan RT menjalankan tugas dengan lebih efisien dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukarelawan.

"Paling penting kita mahu semangat kejiranan dapat disemarakkan bagi memupuk keharmonian dan perpaduan di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Akta Rukun Tetangga 2012 di kampus Universiti Sains Malaysia, di sini Ahad.

Koh berkata pada 2009, sebanyak 3,995 pertubuhan RT berdaftar di seluruh negara dan jumlah itu bertambah menjadi 5,959 setakat September tahun ini.

Mengulas lanjut beliau berkata anggota peronda RT akan dilindungi skim insurans berjumlah RM40,000 mulai tahun depan berbanding RM20,000 sekarang. Anggota peronda RT juga layak menerima pampasan insurans sebanyak 50 peratus daripada jumlah itu walaupun ditimpa kemalangan di luar waktu bertugas.

Beliau turut membuat saranan kepada majikan agar memberi pelepasan waktu bekerja kepada anggota RT yang menjalankan tugas rondaan selepas pukul 2 pagi.

-- BERNAMA