Selamat datang ke Komuniti Kita untuk Semua penduduk Bakar Batu. Sila ke laman facebook di sini Terima kasih
RSS

Monday, November 5, 2012

Kuasa anggota Rukun Tetangga dimansuh



SHAH ALAM: Kuasa setaraf konstabel polis yang sebelum ini diberikan kepada 150,000 anggota Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara ketika melakukan rondaan kini dimansuhkan berdasarkan Akta Rukun Tetangga 2012.

Kuasa berkenaan dimansuhkan berikutan ia tidak pernah diguna kerana sebelum ini oleh anggota RT kerana tidak dibekalkan senjata api selain tidak diberi latihan seperti polis mengenai kaedah penahanan pesalah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, akta baru yang diguna pakai bukanlah bermaksud ia mengecilkan bidang kuasa anggota RT, tetapi sebelum ini sekiranya anggota RT mahu melakukan tangkapan, ia akan diserahkan kepada polis.

Dr Koh berkata, sebelum ini anggota RT seboleh-bolehnya tidak membuat tangkapan terutama penjenayah yang mempunyai senjata kerana bimbang berlaku kecederaan kepada anggota yang menjalankan rondaan.


“Walaupun mereka boleh membuat tangkapan berdasarkan ‘citizen arrest’ (tangkapan oleh warganegara) sekiranya berlaku kejadian jenayah, tetapi mereka perlu berhati-hati terutama terhadap penjenayah yang bersenjata.


“Jadi, atas nasihat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bidang kuasa berkenaan dihapuskan bagi mengelak berlaku risiko kejadian tidak diingini terhadap anggota RT,” katanyapada sidang media selepas merasmikan program 1KRT 1Komuniti, di sini, semalam.

Pada program sama, Dr Koh merasmikan kad keahlian Kawasan RT (KRT) yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada anggota RT di 250 kedai seluruh negara.


Beliau berkata, kad berkenaan yang diperkenalkan di Selangor adalah satu konsep kreatif yang menggabungkan konsep RT dan amalan koperasi di kalangan anggota RT dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara dalam masa terdekat.

“Kad keahlian ini diperkenalkan atas inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor yang antara lain bertujuan memberi galakkan anggota RT untuk menyumbang kepada ekonomi negara.


“Dengan adanya kad ini, pemilik kad yang terdiri daripada anggota jawatankuasa KRT boleh menggunakan kad berkenaan serta-merta bagi membeli barang dan produk yang ditawarkan di kedai yang mengambil bahagian,” katanya.

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my